Galeri Gambar

Login



5.0 KAJIAN PENINGKATAN HASIL PADI DENGAN TEKNOLOGI BIM

5.1 Musim 2/2009 – Ladang Petani
Kajian awal kesan penggunaan BIM dalam peningkatan hasil padi telah dilaksanakan secara pemerhatian di Kampung Perak, Mukim Parit Buntar, Daerah Kerian pada M2/2009. Satu petak sawah seluas 1.2 hektar yang diusahakan oleh Encik Muhammad Rizal Bin Mohd. Ali dirawat dengan Bokashi, molases dan BIMOS. Bokashi ditabur selepas pembajakan pertama dan disusuli dengan kawalan rumpai secara kimia. Molases dituang pada saluran air masuk selepas tiga minggu menabur benih padi untuk tujuan kawalan rumpai.

BIMOS disembur dua kali sebulan bermula 40 hari selepas tanam. Ini bertujuan untuk meningkatkan daya ketahanan pokok terhadap serangan perosak dan penyakit. Input-input pertanian lain turut digunakan mengikut program kerja aktiviti penanaman padi.

Selepas semburan BIMOS, didapati serangan ulat daun kurang berbanding dengan petak bersebelahan yang tidak dirawat. Selain itu, pengisian biji padi juga didapati lebih baik.

Penuaian dilaksanakan pada minggu kedua Disember 2009, hasil padi meningkat daripada 5,200 kg (M1/2009) kepada 5,760 kg (M2/2009) iaitu peningkatan sebanyak 560 kg pada keluasan 1.2 hektar atau 467 kg/ ha.

5.2 Musim 1/2010 - Ladang Petani
Pada Musim 1/2010, pemerhatian diperluaskan ke Kawasan Pengembangan Bagan Serai-Beriah, Daerah Kerian. 28 plot sawah dengan jumlah keluasan 34.78 hektar dan 28 usahawan padi terlibat dengan kajian. Formulasi yang digunakan adalah Bokashi, BIMOS dan BPR.

Bokashi ditabur selepas pembajakan pertama dan disusuli dengan kawalan rumpai. BIMOS dicampur dalam air rendaman benih pada kadar 1:1,000. BPR disembur untuk meningkatkan daya ketahanan pokok terhadap serangan perosak dan penyakit.

Pemerhatian awal menunjukkan kesan positif dalam penggunaan BIM. Antaranya:

  1. Peratusan percambahan benih padi meningkat
  2. Penapakan biji benih lebih baik
  3. Bilangan anak padi banyak
  4. Sistem akar kuat dan akar berkesan banyak
  5. Pertumbuhan pokok dan pembungaan sekata
  6. Kehadiran mush semula jadi banyak
  7. Ulat gulung daun mati akibat kesan patogenik
  8. Kehadiran bena perang dapat dikawal dengan baik

Penuaian bermula pada Ogos 2010. 20/28 plot iaitu 71% menunjukkan peningkatan hasil antara 100 kg - 3,300 kg (2% ke 112%). Purata hasil meningkat daripada 3.55 kepada 3.93 mtan ha-1 iaitu sebanyak 11%.