Galeri Gambar

Login



Kaedah Mencedung Mempertingkatkan Hasil Padi

Bagi mendapatkan hasil padi yang lebih tinggi dan berkualiti, kaedah mencedung secara manual atau jentera menanam adalah satu pilihan yang tepat. Ini adalah disebabkan pokok padi dapat memperolehi ruang yang secukupnya untuk menyerap nutrien dan kanopi daun pokok dapat membantu daun menjalankan proses fotosintesis dengan lebih berkesan.

Selain itu, ia juga dapat mengurangkan infestasi rumput sambau dan padi angin. Di samping itu ia dapat mengurangkan kos meracun rumpai, mengurangkan kejadian rebah pada pokok padi serta memudahkan kerja-kerja pengurusan sawah dan pertumbuhan pokok padi seragam.

Rekod menunjukkan hasil padi bersih tertinggi pernah diperolehi di Sekinchan iaitu sebanyak 10 mt/ha. Selain dari Sekinchan, Kawasan Kerian juga telah memperolehi hasil padi bersih di antara 8 hingga 10 tan sehektar dengan kaedah mencedung menggunakan jentera. Daripada pengamatan yang telah dijalankan, kebanyakan petani yang memperolehi hasil tinggi ini menggunakan kaedah mencedung.

Kaedah mencedung (transplanting) menggunakan jentera

Di dalam penanaman padi secara mencedung menggunakan jentera, jarak tanaman dan bilangan anak benih boleh diubah mengikut kesesuaian pada mesin tersebut. Dalam amalan biasa di negara ini jarak antara pokok (between heel) yang biasa ialah antara 14 dengan 20 cm manakala jarak antara baris (between row) ialah 30 cm. Bilangan anak benih yang digunakan antara 3 hingga 5 bilah bagi satu perdu. Anak benih yang digunakan berumur di antara 14 hingga 20 hari.

Kebaikan penanaman menggunakan jentanam:

Mengurangkan populasi padi angin di sawah kerana benih yang ditanam bersih daripada padi angin sementara yang berada di sawah dibuang awal atau ditakai sebelum padi angin masak. Mengurangkan penggunaan benih, mengurangkan persaingan ruang, cahaya, nutrien di antara pokok padi. Memudahkan pengurusan dan penjagaan tanaman seperti pembajaan dan kawalan penyakit dan perosak.