Pengarah
Jacky Yip Eng Seng

Klik sini untuk Perutusan Pengarah

Berita Terkini

Keratan Akhbar Sitt Heng

Galeri Gambar

Berita Terkini

Kandungan:

PADA masa ini, petani berhadapan masalah untuk mendapatkan hasil tanaman padi berkualiti secara maksimum kerana serangan penyakit dan tumbuhan perosak seperti padi angin.

Situasi itu dilihat amat membimbangkan terutama ketika negara sedang mengalami peningkatan permintaan bekalan makanan yang disebabkan pertambahan jumlah penduduk.

Kaedah tanaman tabur terus dikenal pasti menjadi salah satu faktor menyumbang kepada permasalahan tersebut. Teknologi itu mula digunakan petani sejak dua dekad lalu kerana ia lebih menjimatkan masa, kos dan tenaga kerja.

Namun kaedah ini juga mempunyai keburukan tersendiri di mana kuantiti hasil tanaman agak kurang memuaskan, mudah mendapat serangan penyakit dan tumbang serta sukar untuk menghapuskan tumbuhan perosak.

Atas alasan itu, Sitt Heng Sdn Bhd (Sitt Heng) cuba mempopularkan kembali kaedah mencedung iaitu satu kaedah tanaman padi lebih selamat daripada risiko kerosakan, senang diselenggarakan dan mengeluarkan hasil yang banyak.

Pengarah Urusannya, Jackie Yip Eng Seng berkata, kaedah yang menggunakan tangan itu mula digunakan pada tahun 80 an namun kian dilupakan apabila negara mula memberi tumpuan kepada sektor perindustrian sebagai penjana ekonomi utama.

Menurutnya, teknik mencedung bukanlah satu teknologi baru kerana ia juga sudah diamalkan lebih awal di negara Asia Timur seperti Jepun, Korea dan Taiwan.

“Ia kurang popular dalam kalangan petani kerana memerlukan jumlah tenaga buruh yang ramai iaitu 20 hingga 30 pekerja bagi kawasan seluas satu hektar,” katanya kepada InfoAgro bersempena Agrochallenge Maha 2012 di Kuala Kurau, Perak, baru-baru ini.

Sitt Heng merupakan sebuah syarikat swasta ditubuhkan pada 2005 dan memberi tumpuan kepada usaha untuk mengeluarkan dan membekalkan anak semaian padi berkualiti kepada pengusaha tanaman padi negara.

Beliau berkata, kaedah tabur terus dilihat lebih mudah dan efektif kerana hanya melibatkan penggunaan tenaga kerja minimum namun daripada aspek pembenihan, ia menggunakan jumlah anak benih yang banyak iaitu 150 kilogram anak benih bagi kawasan satu hektar.

Galak penggunaan jentera

Melalui kaedah mencedung, jumlah penggunaan benih agak berkurangan iaitu 50 kilogram bagi jumlah kawasan sama, sekali gus menghasilkan penjimatan anak benih sebanyak 100 kilogram.

“Saya berpendapat kita perlu mengubah kaedah ini kembali ke kaedah mencedung kerana ia membolehkan pokok padi memperoleh ruang mencukupi bagi menyerap nutrien dan kanopi daun pokok dapat membantu daun menjalankan proses fotosintesis dengan lebih berkesan.

“Selain itu, ia dapat mengurangkan infestasi rumput sambau dan padi angin, kos meracun rumpai, kejadian rebah pada pokok padi di samping memudahkan kerja pengurusan sawah dan pertumbuhan pokok padi seragam,” katanya.

Untuk mendapatkan hasil padi lebih tinggi dan berkualiti, kaedah mencedung dengan menggunakan jentera dilihat satu pilihan tepat kerana lebih mudah dan pantas.

Bagaimanapun, golongan petani masih berhadapan dengan kekangan dalam mempraktikkan kaedah tersebut melalui penggunaan jentera kerana beranggapan ia rumit untuk dikendalikan dan memerlukan kos yang besar.

“Mereka perlu mengubah persepsi itu kerana kekangan tersebut boleh diatasi sekiranya golongan ini tolong-menolong antara satu sama lain dan menjalinkan kerjasama dengan agensi pertanian untuk memohon bantuan nasihat, kemahiran dan kewangan,” katanya.

Demi menggalakkan penggunaan kaedah mencedung, Sitt Heng turut memperkenalkan peralatan dikenali Mini Jentanam bagi memberi kemudahan kepada petani dalam melaksanakan urusan penanaman padi.

Mesin ini mempunyai kelebihan berbanding jentera besar di mana ia boleh digunakan dalam pelbagai situasi tanah sama ada bertekstur lembut atau kering. Apa paling penting, ia menawarkan kos pembelian lebih murah dengan perbezaan harga sehingga RM40,000.

Hasil benih kualiti tinggi

Selain perkhidmatan mekanikal, syarikat berpangkalan di Kerian, Perak ini turut memberi tumpuan kepada penyemaian biji benih kerana ia merupakan aspek penting yang akan menjadi penentu kepada kualiti beras.

Jackie berkata, penyemaian biji benih berkualiti akan menjadi pendorong kepada petani untuk aktif menjalankan aktiviti penanaman padi.

Menurutnya, agensi pertanian tidak boleh mengharapkan petani untuk melakukan proses semaian padi kerana kebanyakan daripada mereka tidak memiliki kemahiran untuk melaksanakan perkara tersebut.

“Oleh itu, saya mengusahakan sebuah tapak semaian berteknologi Taiwan yang mampu menghasilkan semaian padi berkualiti dengan pengeluaran 80,000 keping bagi satu pusingan di mana kadar pengeluaran tray berjumlah 2,500 keping bagi tempoh satu jam,” katanya.

Kualiti pengurusan semaian padi ini menyaksikan anak pokok padi sihat, pertumbuhan akar kuat dan padat serta membolehkan pengurangan ‘missing point’ pada kawasan tanaman meskipun Mini Jentanam dipandu laju.

Beliau berkata, anak semaian dijaga secara berkala dengan kehadiran penyakit dan perosak dipantau secara rapi melalui kaedah kawalan mesra alam.

“Semaian ini tidak rosak walaupun perlu dihantar pada lokasi jauh dan memakan masa perjalanan yang lama. Selain itu, ia juga mempunyai peratusan kerosakan semaian rendah iaitu kurang daripada satu peratus,” katanya.

Beliau berkata, syarikat swasta dan pihak kerajaan perlu menjalankan kerjasama bagi memperkenalkan serta mempromosikan teknologi dan perkhidmatan yang dapat memberi manfaat kepada petani.

“Saya harap segala usaha yang dilakukan Sitt Heng ini dapat membantu petani dalam meningkatkan hasil tanaman padi masing-masing sekali gus menggalakkan pertumbuhan padi berkualiti bagi menjamin bekalan makanan negara.

“Ini merupakan masa sesuai untuk melakukan perubahan besar dan ketara dalam industri tanaman padi. Ia sangat penting kerana jika petani tidak mengambil serius tentang kaedah tanaman maka industri tanaman padi Malaysia akan terjejas,” katanya.


asal: http://www.sinarharian.com.my/rencana/aplikasi-semula-kaedah-mencedung-1.109548